HODOHNYA AHLI NERAKA
Mari kita renungi tubuh kita sejenak. Pernah kah salah satu bahagian tubuh kita melecur kerana terbakar api? Atau pernahkah salah satu bahagian tubuh kita dipukul dengan benda keras?
Saya pernah mengalami luka terbakar di salah satu bahagian tubuh saya. Bahagian badan saya yang lain juga pernah dipukul benda keras. Rasanya sangat menyakitkan. Dan saya perhatikan bahawa bahagian tubuh yang terbakar atau terpukul itu membesar kerana proses pembengkakan. Semakin besar luka yang saya deritai, semakin besar bengkak tersebut.
Kejadian yang sama akan berulang lagi di neraka. Bezanya “pembesaran” itu dalam skala yang jauh lebih besar. Ini disebabkan api neraka jauh lebih panas dan pukulan malaikat jauh lebih kuat. Apatah lagi, pelbagai seksaan ini berlangsung dalam jangka masa yang sangat panjang, ratusan bahkan ribuan tahun.
Kulit dan anggota tubuh ahli neraka juga terus-menerus diperbaharui supaya ia boleh terus menerus menanggung azab seksaan yang luar biasa pedihnya namun tidak pula berakhir dengan kematian.
Segala seksaan ini akan membuatkan tubuh mereka semakin lama semakin besar. Ia akan terus membesar hingga mencapai kadar yang tidak terjangkau oleh imaginasi akal manusia waktu ini.
Tubuh Ahli Neraka
Sekarang, mari kita perhatikan hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan perkara yang disebutkan di atas.
Salah satunya,sabda Baginda Nabi s.a.w yang bermaksud : “(Jarak) antara kedua-dua bahu seorang kafir di neraka sejauh perjalanan tiga hari bagi seseorang yang menaiki kenderaan yang berlari cepat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)
Dalam hadis al-Tirmizi daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Gigi geraham seorang kafir pada hari kiamat sebesar gunung Uhud, pahanya sebesar gunung al-Baida dan tempat duduk di neraka seluas perjalanan tiga hari ke al-Rabazah.”
Al-Rabazah adalah sebuah tempat yang terletak 3 batu dari Madinah. Ini menunjukkan bahawa anggota tubuh orang kafir di neraka menjadi sangat besar dan lebar.
Demikianlah balasan yang akan diterima setiap anggota tubuh manusia yang sudah biasa melakukan maksiat serta tidak mengendahkan perintah dan larangan ALLAH S.W.T.
Begitu juga lidah manusia. Ia anggota tubuh yang paling sering digunakan untuk mengingkari dan mempersendakan ayat-ayat ALLAH S.W.T. Ia juga selalu digunakan untuk menghina orang beriman yang berusaha menjaga diri dan kehormatannya daripada noda dan dosa.
Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang kafir akan menyeret lidahnya sepanjang satu atau dua farsakh. Lidah itu diinjak-injak oleh manusia-manusia yang lain.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hodohnya Ahli Neraka
Selain tubuh mereka menjadi sangat besar, “penampilan” mereka juga sangat buruk. Sekali api neraka menyambar, tidak tersisa lagi daging yang membalut tulang. Kulit dan daging berguguran sehingga mereka berubah menjadi makhluk yang sangat hodoh. Nauzubillah!!!
Akan terjadi apa yang ALLAH beritakan dalam mafhum firmanNYA : “Muka mereka dibakar oleh api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat (kalihun).” (Surah al-Mu’minun 23:104)
Dalam Sunnan al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w mentafsirkan lafaz “kalihun” ini dengan sabdanya yang bermaksud : “Wajah mereka dibakar dengan api, maka bibir bahagian atas mereka menjulur hingga ke lehernya, dan bibir bahagian bawah mereka menjulur hingga menyentuh tali pusatnya.”
Semoga ALLAH menjauhkan kita daripada seksa neraka. Pada saat ini kita telah dapat membayangkan manusia yang penampilannya begitu mempesona di layar perak, kini berubah menjadi makhluk yang buruk rupa. Rawatan kecantikan yang menghabiskan jutaan ringgit di dunia ini tidak dapat menangkis bahang api neraka sedikit pun.
Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr: “Andai seorang ahli neraka dikeluarkan ke dunia pada saat ini,nescaya penduduk dunia akan mati kerana kehodohan rupa dan bau busuknya.” Sahabat Nabi s.a.w ini lalu menangis teresak-esak.
Oleh sebab itu, jangan pernah iri kepada golongan ini. Jangan juga jadikan mereka teladan kita dalam menjalani kehidupan. Demi ALLAH, andai kita melihat keadaan mereka di neraka kelak, kita akan rasa sangat bersyukur kepada ALLAH kerana tidak menjadikan kita seperti mereka.
Pakaian Ahli Neraka
Tidak terkecuali pakaian, perhiasan dan tempat tinggal mewah yang mereka nikmati pada saat ini. Semuanya akan berganti dengan pakaian yang dibuat daripada api. ALLAH s.w.t berfirman yang bermaksud : “Pakaian mereka (ahli neraka) adalah pelangkin (tar) yang sangat panas…” (Surah Ibrahim 14:50)
Sudah tidak ada lagi fesyen yang selama ini dituruti dan dijaga. Sebaliknya, hanya api yang akan menjadi lantai, atap dan kediaman mereka selama-lamanya. Api juga yang akan menjadi katil dan kerusi tempat mereka cuba melepaskan penat berdiri. Tidak terbayang seksaan yang mereka rasakan pada saat itu. Sebiji bara api yang diletakkan di tapak kaki, panasnya terasa hingga ke otak.
Berkata Wahb bin Munabbih: “Sesungguhnya ahli neraka yang benar-benar ahlinya, mereka tidak akan merasai rehat, tidur dan maut di dalamnya. Setiap saat, mereka berjalan di atas api dan duduk di atas api. Minuman mereka ialah nanah dan darah ahli neraka, makanan mereka buah zaqum yang dibuat daripada api, baju mereka dibuat daripada api dan tembaga yang sangat panas.” (Riwayat al-Hafiz Ibn Abi al-Dunya dalam kitab Sifat al-Nar)
Jeritan dan Tangisan
Orang yang dahulunya sangat sombong dan angkuh ini akan terus menjerit kesakitan tanpa henti. Mereka meraung, menjerit, meratap, merintih dan menangis tanpa ada sesiapapun yang mempedulikan mereka. Semua ini tidak akan terjadi andai mereka pernah menangis di dunia kerana menyesali dosa-dosanya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ahli neraka akan melepaskan tangisan dan jeritannya sehingga kering air mata mereka. Mereka lalu menangis air mata darah sehingga meninggalkan kesan di wajah mereka seperti parit-parit. Andai sebuah bantera dilayarkan di atasnya, nescaya ia akan berlayar.” (Riwayat Ibn Majah)
Sungguh rugi orang yang memiliki rupa yang cantik, namun tidak menghiasi kecantikannya dengan iman. Sungguh rugi orang yang diciptakan dengan rupa yang tampan, namun tidak pernah membasuhkan mukanya dengan air mata taubat.
Rugilah orang yang membeli api neraka dengan kenikmatan sesaat. Kenikmatan yang ditawarkan hawa nafsu akan berakhir dengan segera, sementara azab neraka tidak akan berakhir selama-lamanya.
Jaga Dirimu daripada Api Neraka
Daripada ‘Adi bin Hatim r.a katanya: “Suatu hari Rasulullah s.a.w menceritakan mengenai seksa neraka. Baginda lalu memalingkan wajahnya sambil berlindung kepada ALLAH daripada api neraka. Baginda lalu kembali menyebutkan neraka. Baginda kembali memalingkan wajahnya sambil berlindung kepada ALLAH daripada seksa neraka.”
Rasulullah s.a.w. lalu bersabda yang bermaksud : “Jagalah dirimu daripada api neraka walau hanya dengan (memberikan sedekah sebesar) setengah biji kurma. Sesiapa yang tidak memilikinya, maka ucapkanlah kata-kata yang baik.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Semoga kita selalu menjaga diri kita, orang tua kita, anak-anak kita, guru-guru kita, dan semua orang yang kita kasihi daripada seksa api neraka. Amin ya Rabbal ‘alamin.
*dipetik dari artikal AKHIR ZAMAN..hasil tulisan oleh UMAR M NOOR. Majalah solusi isu 29.