Read more: Tutorial...(Auto Readmore Di setiap Post) Under Creative Commons License: Attribution

~~PENAWAR HATI~~

“Ya Allah, ketika diri ini dilambung onak kesusahan dan kesempitan, kau lapangkan dan tabahkanlah hati ini menghadapinya. Janganlah Engkau jadikan diriku ini hambaMu yang berpaling dariMu ketika saat Kau menguji diri ini.Ya Allah, kau berikanlah kekuatan dan kurniakanlah kesabaran di jalanMu.”

Seeru ‘ala Barakatillah.

Pengikut

Selasa, 21 Disember 2010

MUSIBAH: PAHIT DI DUNIA MANIS DI AKHIRAT

MUSIBAH: PAHIT DI DUNIA MANIS DI AKHIRAT

Musibah: mesej daripada illahi 


Sebuah Negara yang menguji kekuatan pasukan tenteranya dan kehebatan senjata miliknya,sebenarnya sedang menyampaikan mesej kepada negara lain bahawa mereka kuat. Begitu juga dengan musibah yang menimpa penghuni alam ini,ia mengandungi mesej tertentu daripada ALLAH S.W.T.

Renungilah hikmah di sebalik musibah seperti berikut:
·                           Melatih diri agar dapat bersabar.
·                           Menyucikan hati daripada sifat-sifat tercela.
·                           Menguatkan iman seorang Mukmin.
·                           Agar manusia lebih dekat ALLAH.
·                           Mungkin ALLAH rindu untuk mendengar rintihan hambaNYA.
·                           Supaya darjat umat dapat ditingkatkan.
·                           Musibah juga ditimpa akibat manusia memutuskan hubungan dengan ALLAH. Supaya manusia dapat mengambil pengajaran daripada musibah tersebut.

ALLAH berfirman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah menghukum (firaun dan) kaumnya dengan (mendatangkan) musim kemarau yang panjang dan kekurangan buah-buahan,supaya mereka mengambil pelajaran.” (Surah A’raf:130)

·        Musibah menguji tahap iman seseorang.
·        Indicator bahawa ALLAH itu Maha Perkasa dan manusia pula hamba yang sangat lemah dan tidak berdaya apa jua.
·        Musibah bagi menjadikan doa dan taubat itu betul-betul ikhlas. Manusia yang baru ditimpa musibah berada dalam keadaan yang lemah dan tawaduk. Ini boleh menghasilkan doa dan taubat yang tulus.
Membangkitkan orang yang diuji daripada kelalaian dengan nikmat dunia.

·        Kadangkala orang yang ditimpa musibah akibat perbuatan orang lain. Keadaannya kini dikira orang teraniaya. Maka ALLAH telah merahmatinya dengan mengurniakan doa yang makbul.
·        Musibah sumber pahala dan kebaikan.
·        Musibah juga menunjukkan bahawa dunia ini hina dan tiada apa-apa jika dibandingkan dengan akhirat. Dunia hanya jambatan ke syurga atau neraka.
·        Sesungguhnya pilihan ALLAH ialah pilihan terbaik berbanding pilihan seorang hamba. Begitu juga musibah,ia adalah pilihan ALLAH buat hambaNYA.
·        Kadangkala manusia tidak tahu akibat sesuatu perbuatan. Dengan adanya musibah,manusia dapat mempelajari sesuatu iaitu “akibat”.
MAHMUDAH
MAZMUMAH
REDHA

Sifat redha adalah sifat terpuji yang menyebabkan seseorang hamba ALLAH menerima dengan rasa senang apa yang diberikan oleh ALLAH S.W.T baik berupa peraturan (hukum) mahupun qadak atau sesuatu ketentuan daripada ALLAH S.W.T.

Redha terhadap ALLAH S.W.T terbahagi kepada dua:
·                           Redha menerima peraturan (hukum) ALLAH S.W.T yang dibebankan kepada manusia.
·                           Redha menerima ketentuan ALLAH S.W.T tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima HUKUM ALLAH S.W.T :
Redha menerima hukum-hukum ALLAH S.W.T adalah manifestasi daripada kesempurnaan iman,kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada ALLAH S.W.T kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan senang hati dan tidak berasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan berlapang dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh ALLAH S.W.T dan RASULnya. Hal ini kerana rasa cinta kepada ALLAH S.W.T sekali gus tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNYA.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud: “Tetapi tidak! Demi Tuhanmu,mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu (Muhammad) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka,kemudian mereka tidak berasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh-sungguh.” (Surah al-Nisa’ 4:65)

Dan firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
“Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang ALLAH dan RASULnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata:’Cukuplah ALLAH bagi kami,Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami menuju.” (Surah al-Tawbah 9:59)

Pada dasarnya segala perintah ALLAH S.W.T baik yang wajib mahupun yang sunah,hendaklah dikerjakan dengan tenang dan redha. Demikian juga larangan ALLAH S.W.T hendaklah dijauhi dengan lapang dada. Sifat ini hanya mampu dilakukan oleh orang Mukmin.

TERPAKSA

Orang munafik atau kafir tidak memiliki sifat redha,kalaupun mereka menerima hukum ALLAH S.W.T semuanya dilakukan secara terpaksa. Hakikatnya hati mereka benci bahkan sempit dadanya untuk menerima hukum ALLAH S.W.T.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud: “Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (yang munafik) berkata terhadap orang yang benci apa yang diturunkan ALLAH S.W.T,’Kami akan patuh kepada kamu pada sebahagian urusan kamu,’ tetapi ALLAH mengetahui rahsia hati mereka.” (Surah Muhammad 47:26)

Andai kata mereka ikut beribadah,bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka lakukan dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan tidak redha menerima hukum ALLAH S.W.T. Mereka yang lakukan secara paksa itu hakikatnya mempunyai gejala nifak.

Bagi orang awam,mereka mudah terikut dengan sifat munafik kerana manusia umumnya lebih suka kepada perkara yang dilihat mudah. Oleh sebab itu kita sering lihat orang ramai malas beribadah,jika tidak dipaksa oleh peraturan,undang-undang atau penguatkuasaan,mereka akan mengelak.

Mereka yang melakukan ibadah dalam keadaan jiwa yang terpaksa tiada nilai disisi ALLAH. Hal ini kerana ibadah kepada ALLAH mesti redha dan ikhlas kepada ALLAH.

Namun seseorang yang jika melakukan secara paksa,tetapi atas dasar kesedaran mahu berubah, ALLAH akan menilainya juga.

Keadaan ini berbeza dengan orang munafik kerana mereka itu berpura-pura dan tidak mungkin akan berubah ke arah kebaikan. Hati mereka sudah ditutup untuk redha kepada ALLAH.

Marilah kita berazam menjadi seorang Mukmin,bukan setakat seorang Muslim. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Demi ALLAH yang jiwaku di tanganNYA! Tidak lah ALLAH memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang Mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi Mukmin. Jika ia memperoleh kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya,dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

SIFIR BERKAITAN MUSIBAH

Setiap sesuatu yang berlaku adalah mengikut kehendak ALLAH,setiap kehendak ALLAH itu pasti akan berlaku,dan kehendak ALLAH berkait dengan hikmah yang mutlak,hikmah yang mutlak itu pula berhubung rapat dengan kebaikan yang mutlak.
·         Hikmah itu tidak terhitung dan infiniti.
·         Tidak semua hikmah di sebalik sesuatu peristiwa itu dapat dicungkil oleh manusia kerana manusia lemah berbanding ALLAH S.W.T.
·         Musibah adalah sub set daripada ujian. Skop ujian lebih umum berbanding musibah kerana nikmat dan musibah termasuk dalam ujian. Oleh sebab itu, semua musibah itu adalah ujian dan bukan semua ujian itu musibah.
·         Musibah bentuknya negative dan sesuatu tidak disukai oleh manusia.
·         Tidak seorangpun akan terlepas daripada musibah di dunia ini.
·         ALLAH berfirman yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal perkara itu amat baik bagimu,dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,padahal perkara itu amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui,sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah 2:216)
·         Musibah akan terasa ringan jika menimpa kelompok yang ramai. Contohnya penyakit berjangkit.
3 JENIS MUSIBAH
Sekurang-kurangnya ada tiga jenis musibah (walaupun pada hakikatnya musibah itu sama sahaja) tetapi yang berbeza adalah disebabkan keadaan diri yang menerimanya dan bagaimana dia bertindak ketika menghadapi musibah tersebut.
1.KAFARAH


Berlaku musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu dia terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu.

Maka musibah itu diturunkan sebagai “tebusan” untuk menghapuskan dosa dan ketelanjuran itu. Ertinya, ALLAH membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Musibah ini lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.

Ringkasnya,kafarah adalah ujian untuk “orang baik yang terbuat jahat”. Dengan ujian itu, “orang baik” tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada ALLAH.
Firman ALLAH S.W.T. yang bermaksud: “Dan Kami (ALLAH) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Surah al-Zukhruf 43:48)

Firman ALLAH S.W.T. yang bermaksud: “Dan Kami pecahkan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Antara mereka ada yang soleh dan ada yang tidak sedemikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.” (Surah al-A’raf 7:168)

2.BALA
Satu bentuk ujian yang dikenakan ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan. ALLAH datangkan musibah itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum dengan lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaanNYA ALLAH turunkan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu di azab di neraka. Orang yang sebegini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.

Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas “orang jahat yang buat jahat”. Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir , Firaun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum seksa di akhirat.

Firman ALLAH S.W.T. yang bermaksud: “Dan jika mereka berpaling,nescaya ALLAH akan azabkan mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Tawbah 9:74)

Firman ALLAH S.W.T. lagi yang bermaksud: “Maka masing-masing (mereka) Kami seksa disebabkan dosanya, maka antara mereka Kami kirimkan kepadanya hujan batu kerikil dan ada antara mereka yang ditimpa letupan suara yang menggempakan bumi,dan ada yang Kami tenggelamkan di dalam laut, dan ingatlah ALLAH sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Surah al-‘Ankabut 29:40)

3.IBTILA’
Musibah yang dikenakan ke atas orang baik ketika dia melakukan kebaikan. Musibah ini adalah tanda kasih sayang ALLAH kepada hambaNYA yang taat. Dengan ibtila’ seseorang hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan darjatnya di sisi ALLAH. Dengan musibah,mereka mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, pahala bersangka baik dan sebagainya.

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, qanaah daripada ALLAH?? Dengan bentuk ujian inilah ada dalam kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat ULUL AZMI (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, dan Nabi Isa) – Yakni mereka yang paling gigih,sabar dan tabah ketika menanggung musibah.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian ke atas “orang baik yang buat baik”. Golongan para nabi,siddiqin,syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran,supaya kita mengambil ‘ibrah dan hikmah daripadanya.















ALLAH S.W.T. mengingatkan menerusi firmanNYA yang bermaksud: “Apakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepada kamu (ujian) penderitaan sebagaimana yang dideritai orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan,kemelaratan dan mereka diancam bahaya sehinggalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya merintih:’Bilakah datangnya pertolongan ALLAH’?? (Surah al-Baqarah 2:214)



Pendek kata,bagi orang beriman,ujian bukanlah sesuatu yang negative kerana ALLAH mempunyai maksud-maksud baik di sebalik ujian itu. Apabila menerima musibah tidak sekalipun mereka mengeluh atau mengaduh, “Kenapa aku yang kena?” Sebaliknya mereka akan berkata,”Aku telah terpilih.” Maksudnya,terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi ALLAH dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.

Untuk orang yang sabar, ALLAH menjanjikan: “Sesungguhnya orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab.” (Surah al-Zumar 39:10)

Bagi yang syahid, maksud sabda Nabi s.a.w : “Orang yang terbunuh di jalan ALLAH (syahid) dihapuskan segala dosa melainkan hutang.” (Riwayat Muslim no.4992)


Atas dasar itulah sebahagian ulama salaf berkata: “Andaikan tidak ada musibah di dunia,tentu kita datang pada hari kiamat tanpa membawa pahala.”

ORANG YANG DERHAKA YANG DITIMPA MUSIBAH

Apakah petanda ALLAH tidak sayangkan mereka??
Jangan tersilap,malah dalam keadaan berdosa sekalipun,ALLAH datangkan ujian untuk kebaikan. Jika orang baik mendapat peningkatan darjat apabila menerima musibah,maka orang yang berdosa pula mendapat satu pengampunan dengan musibah (kafarah) yang diterimanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang Mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih daripada itu, kecuali dengannya ALLAH akan menghapuskan sebahagian dosanya.” (Riwayat Ahmad no.25338)

KITA harus bermuhasabah diri sendiri,ketika ditimpa musibah kita berada dalam golongan yang mana? Golongan yang diuji secara ibtila’, kafarah atau bala? Paling tidak,biarlah kita diuji secara kafarah,yang denganya kita akan menyegerakan taubat kepada ALLAH.













Tagihlah janji ALLAH ini: “Dan apa sahaja musibah yang menimpa ke atas kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri,maka ALLAH memaafkan sebahagian besar dari kesalahan-kesalahanmu.” (Surah al-Syura 42:30)

BAGAIMANA MENGHADAPI MUSIBAH?

1.     TETAPKAN KEYAKINAN DALAM HATI BAHAWA MUSIBAH ITU DARIPADA ALLAH.

2.   MENAHAN DAN MENGAWAL DIRI DENGAN SIFAT SABAR.

3.   BANYAKKAN DOA DAN ZIKIR.

4.   TETAP BERUSAHA UNTUK MENGATASI MUSIBAH ITU.

5.    SEGERA BERTAUBAT LANTAS BERTAWAKAL KEPADA ALLAH.
“Sesungguhnya besarnya pahala diukur dengan besarnya ujian,dan apabila ALLAH suka kepada kaum itu,maka mereka diuji. Jika mereka redha,maka ALLAH redha dan jika dia marah,ALLAH pun marah kepadanya.” (Riwayat al-Tirmizi no.2396)

TIPS MENGHADAPI MUSIBAH




Untuk mengelak tekanan ke atas sesuatu musibah,kita perlu melalui anjakan pola pemikiran. Dan,perubahan pola pemikiran itu pernah disampaikan dan dicontohi oleh berbagai ulama Islam. Berikut adalah sebahagian kecil:










PERTAMA:
Apabila menghadapi musibah,selalu menjaga fikiran kita sepositif mungkin. Antaranya adalah dengan meyakini bahawa musibah ini sebagai tanda bahawa ALLAH sedang menguji kita sebagai seorang Mukmin. Imam Muslim meriwayatkan Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seseorang Mukmin laksana pokok tanaman, setiap kali angin lalu menghentamnya. Dan seorang munafik laksana tumbuhan padi, ia tidak akan dicabut melainkan ketika waktu menuai.”

Juga meyakini bahawa ALLAH S.W.T sedang membersihkan dosa-dosa kita. Dalam kitab Muwatha dan Sunan al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bala sentiasa menimpa diri anak-anak dan harta seorang Muslim atau Muslimah,sehingga ia menghadap ALLAH tanpa membawa dosa sedikit pun.”
Apabila mengalami kecurian, cuba lakukan seperti kisah yang diceritakan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin ini. Suatu ketika seorang lelaki soleh kehilangan wangnya. Setelah puas mencari,ia baru menyedari bahawa seseorang telah mencurinya. Ia segera berkata: “Semoga ALLAH memberkatinya. Mungkin dia lebih memerlukan wang itu daripada saya.”

KEDUA:
Apabila ditimpa musibah,perkara pertama yang mesti kita lakukan adalah membayangkan betapa besarnya nikmat yang ALLAH berikan,maka kita akan hadapi musibah itu dengan hati yang tenang dan penuh keredaan.

Dalam hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya balasan sesuai dengan besarnya bala (dugaan). Dan sesungguhnya,jika kita mencintai seuatu kaum, ia akan menimpakan bala kepadanya. Sesiapa yang reda,maka ia akan mendapatkan keredhaan (daripada ALLAH). Dan barang siapa yang benci,maka ia akan mendapatkan kebencian.”

Suatu hari,seorang wanita solehah,isteri kepada Imam Fath al-Musili, tersandung sesuatu sehingga patah kuku jari kakinya. Beliau hanya tertawa melihat darah yang mengalir dari jarinya itu. Seseorang bertanya: “Tidakkah engkau berasa sakit?” Ia menjawab: “Kelazatan pahalanya mengalahkan kesakitan yang aku rasai.”

KETIGA:

Hendaklah berfikiran luas dan mendalam terhadap sesuatu musibah dengan melihat daripada berbagai segi dan sudut. Suatu hari,ada seorang mengeluh mengenai kesusahan kehidupannya kepada Muhammad bin Samak, seorang imam yang sangat zuhud. Ia mengeluh kerana dibebani hutang dan kesulitan mendapatkan wang.

Ibn Samak lalu bertanya kepadanya: “Berapakah wang yang engkau perlukan?”

Ia menjawab: “Sepuluh ribu.”
Ibn Samak bertanya lagi: “Adakah kamu mahu memiliki wang sepuluh ribu dengan matamu hilang?”
Si fakir menjawab: “Tidak mahu.”
Ulama itu berkata lagi: “Adakah kamu mahu memiliki wang sepuluh ribu tetapi lidahmu menjadi bisu?”
Ia menjawab: “Tidak mahu.”
“Adakah kamu mahu memiliki wang sepuluh ribu namun kaki dan tanganmu terputus?”
Ia menjawab: “Tidak mahu.”
Ulama yang bijak itu lau berkata: “Kamu memiliki sesuatu yang lebih berharga daripada wang tiga puluh ribu, tapi mengapa masih bersedih?”


UBAT ENAM RESEPI









1.       PERCAYA SEPENUHNYA KEPADA ALLAH S.W.T.  
2.       KESEDARANKU BAHAWA SEMUA YANG SUDAH ALLAH TAKDIRKAN AKAN BERLAKU.
3.       SABAR ADALAH SENJATA PALING BERKESAN YANG DIGUNA PAKAI OLEH ORANG YANG MENDAPAT UJIAN.
4.       JIKA SAYA TIDAK SABAR SAYA TIDAK AKAN TERTOLONG HANYA DENGAN PERASAAN RESAH.
5.       MUNGKIN SAHAJA SAYA AKAN BERADA DALAM KEADAAN YANG LEBIH BURUK DARIPADA KEADAAN SAYA SEKARANG INI.
6.       DARI SEMASA KE SEMASA JALAN KELUAR AKAN TERUS TERBUKA.












Read more: Tutorial...(Auto Read more Di setiap Post) Under Creative Commons License: Attribution

1 ulasan:

SITI SOLEHAH berkata...

“Ya Allah, ketika diri ini dilambung onak kesusahan dan kesempitan, kau lapangkan dan tabahkanlah hati ini menghadapinya. Janganlah Engkau jadikan diriku ini hambaMu yang berpaling dariMu ketika saat Kau menguji diri ini.Ya Allah, kau berikanlah kekuatan dan kurniakanlah kesabaran di jalanMu.”
Seeru ‘ala Barakatillah.^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...