Read more: Tutorial...(Auto Readmore Di setiap Post) Under Creative Commons License: Attribution

~~PENAWAR HATI~~

“Ya Allah, ketika diri ini dilambung onak kesusahan dan kesempitan, kau lapangkan dan tabahkanlah hati ini menghadapinya. Janganlah Engkau jadikan diriku ini hambaMu yang berpaling dariMu ketika saat Kau menguji diri ini.Ya Allah, kau berikanlah kekuatan dan kurniakanlah kesabaran di jalanMu.”

Seeru ‘ala Barakatillah.

Pengikut

Selasa, 25 Januari 2011

THARIQAT NAQSYABANDIYYAH

DI PETIK DARI BUKU “PENGEMBARAAN MENUJU ALLAH”
AGENDA LENGKAP UNTUK PARA SALIK MENEMUI TUHANNYA
(Abu Abrar An-Naqsyaband-Zaimi@Zaini Azlan Bin Ibrahim)


THARIQAT NAQSYABANDIYYAH

Prinsip-Prinsip Asas
Thariqat Nasyabandiyyah

Thariqat Naqsyabandiyyah mempunyai beberapa nama lain sebelum ini. Semasa hayat Rasulullah s.a.w, Thariqat ini bernama Thariqat Muhammadiyyah. Saidina Jibrail mengajar baginda pada awal permulaan Islam berzikir dengan zikir Ismu zat yakni ALLAH,ALLAH,ALLAH….
Rasulullah s.a.w kemudian mengajar sahabat-sahabat baginda Thariqat ini untuk menanamkan rasa tauhid yang kental di hati mereka, sehingga para sahabat mempunyai kekuatan keimanan yang padu untuk menangkis tekanan dari musyirikin Mekah waktu itu, berupa deraan fizikal, kecaman, makian, sumpah-seranah, hatta pembunuhan seperti yang diterima oleh keluarga Yasser. Selepas wafatnya Rasulullah s.a.w, Thariqat ini dikenali sebagai Thariqat siddiqiah, mengambil sempena gelaran Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Kemudian, masa demi masa berlalu, hinggalah ke zaman Sheikh Abu Yazid Bustomi. Thariqat ini kemudian dikenali sebagai Thariqat *Thaifuriyyah(Thaifur: tempat kelahiran Abu Yazid Bustomi). Hinggalah kemudiannya di era Sheikh Abdul Khaliq Fajduwani, Thariqat ini bergelar Thariqat Khawajakan(Guru-guru rancangan). Ia berubah mengikut nama Khalifah yang mempopularkannya. Di zaman Sheikh ‘Ubaidillah al-Ahrar, ia dipanggil pula dengan nama Thariqat Ahrariyyah. Dan semasa period Sheikh Baha’uddin, ia tertonjol dengan nama Thariqat Naqsyabandiyyah.

Biar apapun namanya, prinsip asasnya tidak berubah. Asas bagi Thariqat Naqsyabandiyyah ialah:

  • Silsilah guru ke guru berhubungan sampai ke Rasulullah s.a.w, melalui sahabat dan tabi’in.
  • Berpegang teguh kepada Syariat dan as sunnah yang dibawa oleh Muhammad ibni Abdillah s.a.w.
  • Berpegang dengan konsep tawassul dalam zikirullah dan mujahadah.
  • Menjauhi sekuat tenaga lahir dan batin dari melakukan yang haram berlaku mungkar dan derhaka kepada ALLAH.
  • Melazimi taubat,ikhlas dalam ilmu dan amal.
  • Memusuhi kezaliman,penindasan dan kekufuran.
  • Menghiasi diri dengan akhlak Rasulullah s.a.w.
  • Senantiasa mengajak diri dan umat kearah tauhid,mendidik hati dan mengawasi diri dari terjebak ke lembah kufur dan syirik.
  • Mengisytiharkan perang ke atas penceroboh Deen Islam.

Selama berkurun-kurun lamanya kaum Naqsyabandiyyah berpegang kepada 9 prinsip tersebut,tanpa ada tolak ansur.

ADAB

Kaum Naqsyabandiyyah sangat kuat berpegang kepada adab. “Adab” tersebut dilembagakan turun-temurun bertujuan memecah dan mencairkan sifat dari nafsu ammarah, disamping mendidik dan menghaluskan hati agar diri berakhlak dengan akhlak kenabian. Melanggar adab mendatangkan musibah. Musibah terbesar ialah keras dan gelapnya hati sehingga murid tiada berupaya untuk memajukan diri dibidang kerohanian selagi permohonan maaf dan taubat tidak dilakukan.
 Murid dari kaum Naqsyabandiyyah dilatih mengasihi semua makhluk ALLAH. Menghormati orang tua dan memuliakan sahabat. Guru sebagai pimpinan teratas tidak boleh dibantah perintahnya zahir atau batin. Kepada guru murid mesti membawa adab tertentu. Malah,begitu juga terhadap teman-temannya, hatta terhadap diri sendiri. Sheikh Najmuddin Amin al-Kurdi dalam kitabnya “Tanwirul Qulub” halaman 528-531, menggariskan beberapa adab yang patuh dipatuhi oleh murid terhadap gurunya. Begitu juga dengan Sheikh Muhammad bin Abdullah al-Khani al-Kholidi Naqsyabandi, menjelaskan dalam kitabnya “Bahjatus Saniah” darihal persoalan yang sama di halaman 25-26 dalam kitabnya. Antara adab murid terhadap gurunya itu seperti tersebut:
1.    Menghormati guru zahir dan batin. Murid harus yakin maksud tujuannya tidak akan tercapai melainkan dengan bimbingan guru. Sekiranya kecenderungan murid beralih kepada guru lain, tertutuplah limpahan guru kepadanya dan dia tiada dapat penghasilan apapun.

2.    Menyerahkan diri, tunduk dan rela kepada guru, berkhidmat kepadanya dengan harta dan tenaga, kerana kemahuan dan kecintaan tidak akan menjadi kenyataan melainkan dengan jalan perkhidmatan itu. Dan itu juga nilaian kejujuran dan keikhlasannya.
3.    Jangan menentang atau membantah sesuatu yang diperbuatnya dan bertanya “kenapa” dan “mengapa” kerana murid sedemikian tidak akan maju selamanya.

4.    Jangan mendekati guru kecuali untuk tujuan taqarrub kepada ALLAH.

5.    Membuang usaha dan ikhtiar diri dan meletakkannya kepada usaha dan ikhtiar guru dalam ibadat ataupun pekerjaan biasa.


6.    Berbaik sangka kepada guru dan jangan sekali-kali mencari dan mengintip kesalahan guru kerana murid akan binasa jika melakukan yang demikian.


7.    Menjaga guru di mana saja ia berada,terus-terusan melakukan hubungan dengan guru dalam setiap tindakan serta menghubungkan hati dengannya,nescaya murid tersebut akan beroleh keberkatan.

8.    Harus mengingati bahawa sebarang keberkatan yang ia perolehi dalam persoalan dunia atau akhirat adalah dikeranakan berkat gurunya.

9.    Menceritakan segera kepada guru natijah yang diperolehinya samada getaran kalbu,lintasan hati,peristiwa ajaib,tersingkap hijab atau karomah yang dikurniai ALLAH kepadanya.

10.    Tidak keburu mentafsirkan mimpi, kasyaf atau peristiwa ganjil lainnya sehingga dirujuk terlebih dahulu kepada guru dan redha dengan jawapan atau tiada jawapan dari gurunya.

11.    Tidak boleh mengawini wanita yang guru cenderung untuk mengawininya dan tidak boleh mengawini janda guru samada bercerai talak atau bercerai mati.

12.    Tidak boleh dia memberi isyarat sebagai pernyataan pendapat, apabila diikut sertakannya dalam mesyuarah,baik tentang melaksanakan sesuatu mahupun meninggalkannya. Ia harus menyerahkan semuanya kepada guru dengan keyakinan bahawa guru lebih  mengetahui daripada dirinya. Pun jika ia diundang dalam mesyuarah bukanlah untuk meminta pendapatnya, tetapi hanya menunjukkan kesayangannya belaka, kecuali memang ada tanda-tanda guru meminta pendapatnya, maka hendaklah ia menyatakan pendapatnya dengan sopan dan beradab.

13.    Hendaklah murid menjaga keluarga guru dan teman gurunya, kerana yang demikian akan menumbuhkn kasih sayang guru kepadanya.

14.    Jika murid memperolehi sesuatu keajaiban dalam amalannya, hendaklah segera diberitahu gurunya supaya guru dapat menunjukkan jalan pengubatannya supaya terhindar ia dari sifat riak,ujub atau munafik.

15.    Menghormati dan menjaga dengan cermat pemberian guru. Dan jangan diberi atau dijual pada orang lain. Sebab kemungkinan pemberian tersebut mempunyai hubungan dengan dunia dan akhiratnya dan disamping dapat menolong mendekatkan diri dengan ALLAH.

16.Yang paling utama dan penting dari semua itu adalah kebenaran dan kejujuran serta kesungguhannya memenuhi tuntutan guru. Kerana para guru sependapat bahawa kalau kepatuhan murid cukup sempurna,nescaya ia mungkin akan menikmati kemanisan mengenal ALLAH dalam satu majlis,sejak hari pertama ia bersama gurunya.
17.    Kepercayaan dan keyakinan pada guru jangan berkurang,apabila melihat ia banyak tidur pada waktu sahur atau sedikit waraknya atau perbuatan-perbuatan lain yang merendahkan martabatnya. Sebab,kadang-kadang ALLAH membuat seorang wali ALLAH itu sesaat lalai atau lengah,tetapi kemudian sesudah ia sedar dari kelalaian itu,dia dapat mengejar ketinggalannya pada masa ia lalai tadi. Semua itu berasal dari ALLAH S.W.T  untuk menunjuki para murid,bila,hal semacam itu menimpa mereka.
18.    Tidak boleh banyak bercakap di hadapan guru,walaupun diberi kesempatan olehnya. Murid harus tahu waktu untuk bercakap dengan guru. Jika bercakap-cakap dengan guru, harus bersopan dan menjaga adab,rendah hati dan khusyuk. Mendengarkan dengan teliti dan tenang jawapan dari guru. Jika tidak berlaku demikian,nescaya haramlah atasnya terbuka pintu untuk menuju ALLAH. Dan apa yang telah diharamkan atasnya,tidak akan ia dapati lagi kecuali sesekali.

19.    Merendahkan suara dimajlis gurunya,kerana menguatkan suara di depan orang-orang besar adalah salah adab.

20.    Jangan bersila di atas sejadah guru,tetapi hendaklah ia duduk di hadapannya dengan tawadhuk dan merasa diri kecil dan siap untuk melayaninya.

21.    Hendaklah murid segera menjalankan perintah gurunya tanpa bertangguh dan ia tidak boleh beristirehat sebelum perintah itu terlaksana.

22.    Hendaklah murid menjauhi dan melarikan diri dari sesuatu yang dibenci oleh gurunya .

23.    Jangan ia duduk semajlis dengan orang yang dibenci gurunya dan hendaklah ia mengasihi orang yang dikasihi gurunya.

24.    Sabar dan redha atas ujian dan musibah. Jangan berkata “kenapa guru memperbuat sesuatu untuk si anu tetapi tidak pada diriku”.
25.    Tidak boleh duduk di tempat yang dikhaskan untuk guru. Tidak pula mendesak-desaknya mengenai sesuatu. Jangan ia mengadakan perjalanan, jangan pula berkahwin dan jangan melakukan sesuatu pekerjaan kecuali dengan izin gurunya.

26.    Jangan mengutip ucapan guru di depan orang ramai kecuali sesuai dengan akal dan tingkat kecerdasan mereka.

27.    Jangan menyebarkan sesuatu rahsia kepada gurunya walaupun sudah disiarkan orang dengan berbagai alat penyiaran.

28.    Jangan pula mendesak gurunya untuk menunjukkan karomah,kerana memperlihatkan karomah itu hukumnya haram.

29.    Hendaklah ia membesarkan gurunya diatas yang lain dan hendaklah ia mengasihi gurunya sepenuh hati.


Itulah antara lain kewajipan serta adab murid dari kaum naqsyabandiyyah terhadap guru mereka. Kepada mereka yang memperkecil dan mempertikaikan adab tersebut, pepatah dari Maulana Rumi adalah paling tepat direnungi.
“Ilmu ALLAH meresap dalam ilmu sufi bagaimana si bodoh cuba memahami ini?”

Terhadap teman sepergaulan,kaum naqsyabandiyyah menetapkan beberapa adab yang wajib dilaksanakan dan dipatuhi. Sesuai dengan deen Islam yang munculnya untuk menyempurnkan akhlak. Kepada sesama ikhwan,mereka wajib:

1.    Kasih kepada mereka seperti anda mengasihi diri sendiri. Jangan mementingkan diri sendiri atau mengkhususkan sesuatu untuk peribadi.

2.    Hendaklah memberi salam,berjabat tangan dan bertutur kata yang manis bila berjumpa mereka.

3.    Jangan lekas marah atau melenting,bersikap sabar atas sikap mereka dan bergaullah dengan mereka dengan akhlak yang baik.

4.    Hendaklah bersikap tawadhuk terhadap mereka,jangan takabbur atau menyombong diri.

5.    Hendaklah berusaha mencari kerelaan mereka,berbaik sangka,saling tolong-menolong dalam menegakkan kebajikan,dalam taqwa,mencintai ALLAH,menunjuki mereka ke jalan yang benar jika anda lebih dewasa. Jika anda muda dari mereka,pelajari sesuatu yang baik dari mereka.


6.    Menyayangi dan menghormati mereka,anak-anak serta orang tua mereka.

7.    Menasihati dan memperingati mereka dengan sopan dan lemah-lembut jika mereka dilihat melakukan kesalahan.

8.    Menerima kemaafan dari mereka sekiranya mereka memohon maaf.

9.    Melihat aib mereka sebagai aib diri sendiri dan sentiasa bersangka baik dihati terhadap mereka.

10.    Jangan berpihak kepada mana-mana sekiranya berlaku persengketaan antara sahabat,tetapi hendaklah mendamaikan mereka serta berdoa untuk kesejahteraan mereka.

11.    Bersikap benar dan jujur dalam pergaulan dengan mereka. Sering berdoa agar ALLAH mengampunkan dosa mereka dan kita.

12.                Melapangkan tempat duduk untuk mereka dalam mana-mana majlis.

13.                            Berkenalan dan mengenali mereka dan keluarga mereka dengan sungguh-sungguh.

14.                            Menjaga kehormatan,memperbaiki perangai dan tingkahlaku mereka serta menolong dalam urusan pendidikan hati dan budi pekerti.

15.                            Menghadiri undangan mereka jika diundang,amanah bila dipercaya sesuatu,menunaikan janji bila mengikat janji dengan mereka,sama-sama merasa sedih atas musibah yang menimpa mereka dan menggembirakan hati mereka.

Begitulah yang diajar oleh para guru naqsyabandiyyah terhadap murid bila berakhlak sesama mereka. Kaedah pendidikan ke atas murid tidak sama antara sesama guru. Adakalanya guru mengembara bersama murid dan tiap perkara yang ditemui didalam pengembaraan tersebut dijadikan oleh guru sebagai teks pengajaran.

Ada guru yang mengajar melalui sifat diamnya. Namun kekuatan kerohaniannya menujah hingga ke hati murid dan ruh si murid dapat dipengaruhinya untuk ditunjuk ajar. Adakalanya cerita-cerita dan kisah-kisah tertentu dijadikan tamsil-ibarat terhadap sesuatu konsep atau persoalan. Ada guru yang berkeliling menjual ubat disamping menyampaikan mesej kerohanian untuk mendidik murid dan umat. Tidak kurang yang kembali kepada praktik keaslian sufi yang tradisional,semata-mata untuk memenuhi tuntutan pengajaran dan pembelajaran bagi memajukan si murid dalam dunia sufi.

Diceritakan Shah Naqsyabandiyyah dikunjungi oleh sekelompok pencari. Mereka menjumpainya di pelatarannya,dikelilingi oleh pengikut-pengikutnya, di tengah-tengah apa yang nampak jelas sebagai orang-orang yang bersuka-ria. Beberapa dari pendatang baru itu berkata,”Betapa tak patut- ini bukan caranya bertingkahlaku,apapun dalihnya.” Mereka cuba memprotes guru itu.

Yang lain-lain berkata,”Nampaknya ini bagi kita sangat bagus-kita menyenangi ajaran sebegini dan ingin untuk turut serta.” Meskipun demikian, yang lain-lain  berkata, “kita masih setengah bingung dan ingin mengetahui lebih banyak tentang teka-teki ini.”

Yang selebihnya berkata satu sama lain, “Mungkin ada sesuatu kearifan di dalamnya, tetapi apakah kita hendak menanyakannya atau tidak, kita tidak tahu.”

Guru itu menghalau mereka pergi.  Dan orang-orang ini semua menyebarkan pendapat-pendapatnya tentang kejadian itu, dalam percakapan dan dalam tulisan. Bahkan mereka yang tidak menyinggung pengalamannya secara langsung terpengaruh olehnya dan pembicaraan serta pekerjaan mereka mencerminkan kepercayaannya tentang hal itu. Beberapa waktu kemudian beberapa anggota tertentu dari kelompok tadi melewati lagi. Mereka berkunjung kepada guru itu. Dengan berdiri di depan pintu, mereka memperhatikan bahawa guru dan para pengikutnya sekarang duduk, dengan sopan-santun, dalam perenungan yang dalam.

“Ini lebih baik”,kata beberapa pengunjung itu, “kerana ternyata ia belajar dari protes-protes kita.”

“Ini sangat bagus,”kata yang lain-lain,”kerana waktu yang lalu tidak diragukan lagi ia hanya menguji kita.” “Ini terlalu muram,” kata yang lain-lain. “kerana kita mendapatkan muka-muka murung di mana pun”.

Dan ada pendapat-pendapat lainnya,yang disuarakan atau dengan cara lain. Orang arif tersebut di atas, ketika waktu perenungan selesai, menghalau pergi semua pengunjung ini.Lama kemudian, sejumlah kecil pengunjung tadi kembali dan mencuba memperoleh penafsiran tentang apa yang telah mereka alami. Mereka menampilkan diri di pintu gerbang dan memandang ke pelataran. Guru itu duduk di sana, sendirian, 
tidak bersuka-ria atau pun bersemadi. Pengikut-pengikutnya sekarang tidak terlihat di mana pun.

“Pada akhirnya kalian bisa mendengar cerita selengkapnya,” kata guru, “kerana aku sudah dapat membubarkan murid-muridku, sebab tugas telah terlaksana.”

“Ketika kalian pertama kali datang, kelasku itu terlalu serius-aku dalam proses menerapkan pembetulan. Kedua kalinya kalian datang, mereka terlalu riang-aku sedang menerapkan pembetulan.”

“Kalau orang sedang bekerja, ia tidak selalu menjelaskan dirinya kepada pengunjung-pengunjung sembarangan, betapapun mereka berfikir bahawa dirinya berminat. Kalau suatu tindakan sedang berjalan, apa yang masuk hitungan adalah perlaksanaan
 yang benar dari tindakan itu. Dalam keadaan-keadaan demikian evolusi lahiriah menjadi kepentingan kedua,” ujar Shah Naqsyabandiah.

Shah Baha’uddin Naqsyabandiah mempunyai cara tersendiri mendidik dan mengasuh murid-muridnya. Ia banyak diam dan berinteraksi lewat kerohaniannya ke atas jiwa murid. Dari sana, jiwa murid dipengaruhi agar insaf diri dan banyak bertaubat. Digerak, agar rajin dan bersungguh beribadah.Digegar, supaya segera bermujahadah untuk menghampiri ALLAH S.W.T.


Di samping adab terhadap guru dan sesama teman, murid dari Thariqat Naqsyabandiyyah juga mempunyai adab terhadap diri sendiri.

Antaranya;

 1.Murid harus sedar bahawa ALLAH S.W.T senantiasa memperhatikannya dalam segala hal. Kerana itu,ia harus berterusan mengingatiNYA, baik sedang berjalan mahupun sedang duduk atau tatkala sedang sibuk mengerjakan tugas harian. Semuanya itu jangan menjadi sebab penghalang untuk mengingati ALLAH di dalam hati.

 2.Meninggalkan pergaulan dengan orang-orang jahat dan bergaul dengan orang baik-baik, seperti firman ALLAH kepada Musa a.s “Jangan kamu bergaul dengan orang-orang yang menurutkan hawa nafsu, nanti mereka akan menceritakan dalam hatimu, sesuatu yang tidak ada.

3.Bergaul dengan orang baik-baik akan mewarisi kebaikan dan bersahabat dengan orang jahat akan mewarisi kejahatan, sepertimana kata pujangga, “Ruh itu bagaikan angin, jika dia melintasi wangi-wangian, nescaya ia akan berbau wangi dan jika ia melintasi bangkai, nescaya ia berbau busuk.”
4.Bergaul dengan orang-orang saleh itu akan melembutkan hati dengan keyakinan, yang akibatnya akan diterima sesudah beberapa waktu kemudian. Seperti sabda Nabi, “Umpama orang yang berteman dengan orang saleh adalah seperti orang yang mempunyai kasturi. Ada kalanya ia akan memberimu atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang baik(wangi)daripadanya.


 5.Apabila murid itu mempunyai anak dan isteri, sedang ia hendak berzikir, maka hendaklah ditutupnya pintu antaranya dengan mereka, sebab tidak ada yang paling memudharatkannya dari yang bertentangan dengan keinginannya. Bila ruangan tempat berzikir itu sempit dan gelap, maka keadaan itu jauh lebih dapat menghimpun lintasan dalam hati, daripada ruangan yang lapang dan terang disinari cahaya matahari atau lampu.

6.Hendaklah ia meninggalkan berlebih-lebihan pada makanan,minuman,pakaian dan pernikahan. Dia harus dapat menahan diri, hanya sekadar mencukupi kehidupannya.

7.Dalam hal ini al-Ghazali menjelaskan, ALLAH menjadikan berlebihan pada makanan dan minuman di dunia itu menyebabkan hati menjadi keras, lambat dan berat pergerakan anggota dalam melaksanakan ketaatan kepada ALLAH dan tuli dari mendengar nasihat dan pengajaran.

8.Hendaklah ia meninggalkan rasa cinta terhadap dunia dan beralih ke arah mengingati akhirat dan menyediakan perbekalan untuk menghadapinya, kerana cinta kepada ALLAH tidak akan masuk ke hati yang di dalamnya ada cinta kepada dunia. “Dunia itu musuh ALLAH, bagaimana cinta terhadap ALAH bisa diperolehi sedangkan kita mencintai musuhNYA??”.

9.Hendaklah tidur dalam keadaan suci dari hadas kecil dan besar.

10.Janganlah rakus kepada apa yang ada di tangan orang. Hendaklah dia menutup pintu penjagaan akhlak pada dirinya(nafsu), tidak berpaling hatinya kepada seseorang di antara makhluk, baik orang itu menghadap mahupun membelakanginya.

11.Apabila rezekinya sempit dan kehidupannya susah dan hati orang keras terhadapnya, maka hendaklah ia bersabar dan tabah, tidak boleh cemas dan takut. Kesusahan dan kesempitan tersebut terlalu menimpa murid yang baru memulai masuk ke dunia thariqat.

12.Boleh jadi pada mulanya ia menyatakan bahawa ia sangat memerlukan jalan ini, tetapi kerana kesulitan yang menimpa dirinya, lantas ia memungkiri janjinya. Akibatnya ia tidak beruntung dan rugi selama-lamanya.

13.Hendaklah mengadakan perhitungan terhadap diri sendiri dan mendesaknya supaya berjalan terus melalui Thariqat, pada saat langkahnya tertegun-tegun. Dan dia katakana kepada dirinya, “sabarlah, kesenangan itu berada di depanmu. Sekarang saya ingin melelahkanmu, untuk mencapai kesenanganmu kelak di akhirat.”

14.Menyedikitkan tidur, terutama waktu sahur, kerana saat itu adalah waktu makbul doa.

15.Sentiasa memakan yang halal.

16.Mengembalikan diri kepada sedikit makan, dengan pengertian menghentikan menyuap sebelum kenyang, sebab yang demikian itu akan menimbulkan kegiatan dan kesegaran dalam melaksanakan ketaatan dan dapat melenyapkan kemasalan.

17.Menjaga lidahnya dari ucapan yang sia-sia dan menjaga hatinya dari semua lintasan, kerana barangsiapa yang menjaga lidahnya dan tetap hatinya, nescaya akan tersingkaplah kepadanya rahsia kebesaran ALLAH.

18.Menahan pandangan mata kepada yang haram, menurut batas kesanggupan, kerana memandang kepada sesuatu yang haram itu adalah seperti racun yang mematikan dan laksana anak panah yang menembus ke lubuk hati, yang dapat membunuhnya, terutama bila memandang dengan nafsu penuh berahi. Junaid al-Baghdadi menyatakan: Diantara hal-hal yang memutuskan jalan para murid, ialah bergaul rapat dengan wanita-wanita dan diri tidak bersih(dari nafsu ammarah)”.

19.Meninggalkan bergurau-senda, kerana bergurau itu mematikan hati, dan menimbulkan kegelapan. Seandainya salik mengetahui kekurangannya, disebabkan suka bergurau atau bercanda, nescaya ia tidak akan mengulanginya lagi dan tahulah ia kenapa batin orang lain bersinar dengan cahaya. Adapun orang yang gelap hatinya, tidak merasa kebinasaan menimpa diri. Nabi berpesan dalam sabdanya: Jangan kamu mengata-ngata saudaramu dan jangan kamu saling bergurau dengan dia.” Yang terbaik, tinggalkanlah saja bergurau-senda itu kecuali semasa dada merasa sempit.

20.Meninggalkan perdebatan dan pertengkaran dalam membahaskan sesuatu ilmu, kerana tabiat seumpama itu mewarisi lupa dan mengotorkan hati. Bila terlanjur berbuat demikian, maka hendaklah segera minta ampun kepada ALLAH dan meminta maaf kepada lawannya berdebat jika dia berada dipihak yang benar.

21.Hendaklah ia bergaul rapat dengan temannya di saat teman itu sedang dalam kesulitan dan saling membahas bersama mereka tentang adab-adab jalan yang akan ditempuh sampai hatinya merasa lapang dan terhibur sehingga kesusahannya tadi lenyap.

22.Meninggalkan ketawa terbahak-bahak, kerana hal itu dapat mematikan hati, sebab itu Nabi tidak pernah ketawa terbahak-bahak sebaliknya hanya tersenyum.

23.Meninggalkan perbahasan tentang keadaan orang dan meninggalkan berbantah-bantah dengan mereka.

24.Meninggalkan sifat cinta kepada kemegahan dan kecintaan untuk menjadi pemimpin kerana niat sedemikan dapat menyeleweng dari jalan yang lurus.

25.Hendaklah ia rendah hati, kerana tawadhuk itu dapat meninggikan martabat seseorang.

26.Sentiasa takut kepada ALLAH,dan mengharap ampunan dariNYA. Sentiasa merasakan tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan dan rahmat dari ALLAH. Hamba berhak mendapat seksa sekiranya ALLAH tidak melimpahkan kurniaNYA kepadanya.


 27.Tidak lupa mengucap “InsyaALLAH” pada setiap ucapan dan perlakuan yang akan datang seperti “InsyaALLAH saya akan menghadiri ceramah agama itu.”

28.Tetap merahsiakan sesuatu yang dilihatnya dalam mimpi ataupun sedang dalam keadaan sedar, kecuali kepada gurunya. Kerana menceritakan hal seperti itu kepada seseorang akan menjauhkannya dari kebenaran dan akan menutupi pintu hatinya, sebagaimana seseorang menerangkan sesuatu maqam yang dia sendiri belum sampai kesitu, tentu dia dihukum tidak akan mencapai maqam tersebut. Jika terpaksa diceritakan, cukup dengan kiasan yang tidak memaksudkan dirinya yang mengalami perkara tersebut seperti dikatakan “Saya terdengar seorang faqir mengatakan begini dan begitu….”

29.Memperuntukan waktu yang khusus untuk mengamalkan zikirullah seperti yang diajar oleh gurunya tanpa mengurangi dan menambahkannya.


 30.Tidak memohon untuk segera atau dilambatkan untuk keterbukaan hijab, tetap terus beribadat dengan ikhlas semata-mata mencari keredhaan ALLAH S.W.T.

Setiap murid yang benar dari Thariqat Naqsyabandiyyah  sentiasa beramal yang demikian, kerana adab tersebut merupakan kunci untuk membuka hati ke arah memajukan ruh ke maqam yang tinggi dan suci.

Kaum Naqsyabandiyyah terkenal keras dalam mendidik ahlinya. Sebab itu pemukanya terkenal dengan berbagai gelaran. Antaranya Sheikh Fariddudin Attar yang termasyur dengan gelaran “Cemeti orang-orang yang mengerjakan suluk.”

“Bagaimana bisa berlembut dengan nafsu yang buas dan rakus yang saban waktu mengajak kepada kejahatan dan derhaka??” – abu abrar.(abi kesayangan)












Read more: Tutorial...(Auto Read more Di setiap Post) Under Creative Commons License: Attribution

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...